Tuesday, February 15, 2011

Nafkah Batin - Bukan sekadar keperluan seks

Jika dilihat zaman sekarang, ramai wanita yang lambat mengakhiri zaman bujang mereka. Ini tidak bermakna wanita itu terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji besar. Sebaliknya wanita kini lebih berhati-hati memilih pasangan hidup dan ramai di antara mereka ingin mencari lelaki yang berilmu dan beramal.
    Namun untuk mencari pasangan yang memiliki sifat ini bukan satu perkara yang mudah, ibarat sukarnya mencari sebutir mutiara asli. Apatah lagi dalam arus kemodenan kini apabila ada lelaki yang diragui ketulenannya. Tidak kurang juga pengalaman melihat kegagalan rumah tangga insan lain turut memberi kesan kepada wanita kini. Ini kerana ramai suami lalai dalam melaksanakan tanggungjawab di dalam mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri dan guru sahaja. Lihatlah apa yang berlaku kini. Pelbagai masalah sosial wujud ekoran kesibukan dan kealpaan ibu bapa.
    Bagaimanapun, kita percaya hampir kesemua tanggungjawab dari segi memberi nafkah zahir seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal kepada ahli keluarganya. Tetapi, bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Apabila persoalan ini diajukan, kebanyakan masyarakat sekarang memahami dan membayangkan bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu.
    Sebenarnya, pandangan itu agak sempit kerana nafkah batin merangkumi lebih daripada seks semata-mata. Oleh sebab tidak memahami tuntutan nafkah batin itu secara mendalam, maka timbul pelbagai masalah di dalam rumah tangga. Misalnya, ahli keluarga tidak pandai solat, tidak pandai mengaji Al-Quran, cuai berpuasa, tidak tahu hukum halal dan haram. sementara isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan didikan islam sewajarnya.
    Nabi s.a.w telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:
    " Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barang siapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya"
    Ini bermaksud, menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang soleh dan solehah. Sesiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka. Nabi s.a.w pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud:
    "Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah swt dengan membawa dosa yang lebih besar daripada suami yang membodohkan ahli keluarganya"
    Melihat hakikat ini, ramai yang keliru dan bertanya apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak dan isterinya tentang ilmu-ilmu fardu ain iaitu tauhid, fikah dan tasawuf. Tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya akidah mereka bertetapan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Contohnya, mempelajari sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan rasul. Mempercayai rukun-rukun Iman dan rukun-rukun Islam. Kita diwajibkan mempelajari ilmu fikah sebagaimana penekanan Allah menerusi firmannya yang bermaksud:
    "Ketahuilah! Bahawa dianjurkan bagi sesorang suami memerintahkan isterinya (dan mengingatkannya dengan nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajarnya akan hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah (yang wajib dan sunat)"
    Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.
    Tujuan mempelajari ilmu tasawuf pula supaya setiap amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan dijauhkan daripada sifat riak, ujub (hairan kepada diri sendiri) sombong dan lain-lain lagi.
MENDIDIK ISTERI
    Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak, ibu bapa, sesama isterinya sekiranya ada, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.
    Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan-santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata seumpama ‘Beruk punya anak’ maka lahirlah watak beruk pada si anak yang sukar untuk dilenturkan perangainya.
    Suami juga harus mengingatkan isteri supaya menghormati dan beradab sopan ketika berhadapan dengan ibu bapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya. Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.
    Selain itu, seorang suami yang soleh juga harus mengingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah swt. Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak-saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.
    Isteri yang berjaya dididik dengan baik dan akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan taat kepada suaminya di kala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan, malah sentiasa mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.
    Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu untuk mengajar isteri dan anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yanng mampu mengajar. Semoga dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.
    Ibnu Abbas pernah berkata: "Berilah pengertian agama kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka"
Share This
Subscribe Here

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Site Info

Followers

Petua Seks Melayu Copyright © 2009 infinityskinsBlogger Template